Thursday, 27 March 2014

Hukuman Bunuh 529 Ikhwan, Isyarat Dunia Menutup Pintu Perdamaian

Ketika sidang media Jeneral Tentera Mesir Abdul Fattah As Sisi di malam penggulingan Dr Muhammad Mursi, kami saksikan anak beranak secara live di TV. Jika tidak silap beliau digulingkan rabu malam. Kemudian keesokan harinya berita keluar beberapa pimpinan utama Ikhwan diharamkan keluar negara. Lusanya akhbar siarkan beberapa pemimpin kanan Ikhwan seperti Dr Muhammad Badi', Dr Mehdi Akif, Dr Isyam Rayyan dan lain-lain telah berjaya bolos ke Libya dan beberapa negara Arab lain dengan bantuan Ikhwanul Muslimin Libya. Tiba-tiba keesokan harinya jumaat sebelum maghrib, Dr Muhammad Badi' tampil di pentas utama Medan Rubu'ah menyampaikan ucapan penting. Kenapa disebarkan berita mereka keluar negara. Tujuannya mematikan semangat rakyat yang bangkit luar dugaan. Jika Tamarrud boleh berhimpun 3-5 hari, rakyat yang menyokong Mursi boleh berhimpun lebih 50 hari.

Mereka berhimpun bermula dibulan Syaa'ban, seterusnya sepenuhnya bulan Ramadhan dan berakhir bulan Syawal, mereka dibunuh hidup-hidup di Dataran Rubu'ah dan Dataran An Nahdah bersebelahan Universiti Kaherah. Tujuannya apa? Bagi mematikan kebangkitan rakyat yang tidak dapat dibendung. Isteri saya yang awal membuka televisyen terkejut melihat secara live seorang wanita ditembak, lalu jatuh, bangkit dan ditembak lagi sehingga terkulai. Allah takdirkan kami menjadi saksi sejarah dunia ketika itu. Rupanya yang ditembak anak kepada pemimpin Ikhwan Dr Mohamad Baltaji. Keesokan harinya kami solat jenazah beliau di Masjif As Salam Haiyu Asyir. Tujuannya apa? Untuk menghentikan kebangkitan rakyat.

Beberapa minggu selepas itu, kebangkitan rakyat berlaku secara melata di seluruh negara, tidak tertumpu di Kaherah sahaja. Rejim As Sisi bertindak menangkan pemimpin pemimpin Ikhwan dan parti-parti lain termasuk Dr Muhammad Bade' Mursyidul Am Ikhwan, Dr Mehdi Akif, Isyam Rayyan, Beltaji dan bekas pemimipin Hizbul An Nur Hazim Abu Ismail. Mereka ditahan dan di penjarakan. Tujuannya untuk membantutkan kebangkitan rakyat.

Hari ini, mereka belum puas. Kerana rakyat tidak putus asa. Warisan Nabi Musa, Nabi Yusuf AS ini masih ramai dicelah anak didik Firaun yang melata. Mereka bangkit tanpa henti setiap hari jumaat berhimpun walaupun sudah lebih lapan bulan pemerintahan demokratik Dr Mursi digulingkan. Hari ini mereka jatuhkan hukuman bunuh kepada 528 orang tahanan Ikhwan beserta pemimpin mereka Dr Muhammad Bade' atas tuduhan yang direka. Ia bukan lagi mahu menyekat kebangkitan rakyat, tetapi ianya satu tindakan balas dendam yang tiada taranya di dunia.

Tetapi awas pemimpin kerajaan haram Mesir dan juga pemimpin dunia sekalian. Anda menyangka ia mematahkan semangat ummah untuk terus bangkit. Ternyata anda salah. Generasi pencinta kedamaian sentiasa segar, sesegar darah saudara kami yang telah dan bakal mengalir di bumi Mesir. Tindakan bengis kamu, bakal melahirkan kebangkitan, kreativiti, kebijaksaan dan kehalusan tindakan pencinta kedamaian di dunia samada muslim atau bukan Muslim yang akan berganding untuk membenamkan kezaliman dunia tanpa disedari. Akan tiba masanya, di tengah kelekaan kamu, generasi segar dan cinta kedamaian secara khususnya kami umat Islam dan rakan-rakan bukan Islam akan muncul di hadapan pintu kamu untuk merejam sikap dan generasi zalim ini sehingga terhapus.

Kita percaya kepada janji Allah yang akan memberi kemenangan kepada mereka yang cintakan kesejahteraan dan kedamaian dikalangan mereka yang beriman, sabar dan istiqamah di medan perjuangan. Ingatlah saudaraku di Mesir, setitis darah kamu yang menitis, ianya adalah darah kami dam sangat mahal harganya untuk melahirkan dunia yang selamat di bawah junjungan Rabbul Jalil. Salam ukhuwah saudaraku di Mesir dariada saudaramu di Malaysia.

Mohd Nasaie Ismail
9.51 PM
Di celah titi bergetar.

No comments:

Post a Comment