Monday, 14 April 2014

PEMILU Indonesia: Analisa Jatuh Bangun Parti Parti Politik.



PEMILU Indonesia baru selesai. Keputusan awalnya melihatkan PDIP dan Golkar mengungguli undi tertinggi. Diikuti Gerindra dan juga Parti Kebangkitan Bangsa PKB. Kemenangan PDIP dengan Golkar bukanlah satu kejutan memandangkan kedua parti sentiasa berada di turutan tiga tertinggi setiap kali PEMILU. Namun beberapa faktor keduanya terus relevan dan melonjak naik peratusan undi berbanding PEMILU 2004 dan 2009 boleh dibahaskan. Walaupun parti Megawati ini merosot sebanyak dua kali PEMILU 2004 dan 2009, proses medenisasi parti dan rejuvenasi parti menarik untuk dikaji. Disamping keberanian mereka meletakkan Jokowi seorang kader baru PDIP yang bukan pengikut PDIP sejak awal. Dia dikira bukan hasil perkaderan PDIP sejak awal. Tetapi beliau adalah hasil yang diperolehi PDIP sejak proses rejuvenasi parti dilakukan. Setelah 10 tahun duduk di luar kerajaan dengan tidak menyertai dua penggal kabinet Sosilo, PDIP menubuhkan Relawan Demokrasi Rakyat sebagai NGO atau organisasi massa yang merekrut ahli baru PDIP. Berlaku pertembungan dalaman PDIP apabila nama-nama baru hendak diletakkan sebagai calon kerana dikatakan mereka bukan original PDIP, tetapi keberanian dan hormat yang tinggi ahli-ahlinya kepada Megawati berjaya menyurutkan tentangan. Termasuk jugalah penantangan terhadap pencalonan Jokowi sebagai calon Presiden. Ahli dan sebahagian pimpinan meragui keaslian ideologi Jokowi, samada benar benar menjiwai PDIP atau sebaliknya. Mereka lebih menginginkan Megawati sendiri sebagai calon Presiden walaupun sudah tewas sebanyak dua kali dalam Pemilihan Presiden. Ataupun setidaknya anak Megawati yang juga Pengarah Pilihanraya PDIP Melyani dipilih sebagai calon Presiden. Tetapi permasalahan itu segera ditangani dengan Sri Melyani sendiri ditugaskan membacakan perutusan Megawati yang mengumumkan Jokowi sebagai calon Presiden.

Golkar yang ditinggalkan Soharto pasca Reformasi 1998 kembali mendominasi undi. Dengan slogan ‘beri bukti bukan janji’, mereka mempromosikan kejayaan pentadbiran mereka di peringkat wilayah. Kejayaan gabenor Sumatera Selatan Alex Nordin daripada Golkar yang memberikan pendidikan dan rawatan kesihatan percuma di wilayah pentadbirannya menjadi pertaruhan Golkar kepada pengundi seluruh Indonesia. Mereka juga mempromosikan untuk mengembalikan zaman ‘tenang’ dibawah pemerintahan Soharto yang berjaya memodenkan Indonesia dan pembaikan demokrasi dibawah pimpinan BJ Habibie. Jadi walaupun ada yang marahkan Soharto, mereka membilang Indonesia yang demokratik hari ini pun datangnya daripada Golkar kerana perubahan yang dibuat oleh Presiden BJ Habibie yang menggantikan Soharto. Disamping itu Golkar juga membentangkan wawasan jangka panjangnya untuk pembangunan Indonesia. Sedikit permasalahan kepada Golkar yang telah mengumumkan Abu Rizal Bakrie sebagai calon Presidennya ialah pencalonan bekas Timbalan Presiden Indonesia 2004-2009 Jusuf Kalla. Walaupun beliau daripada Golkar, tetapi mutakhir ini beberapa parti dan calon lain sedang mengintai untuk mencalonkan Jusuf Kalla sebagai pasangan Timbalan Presiden mereka. Samada berpasang dengan Jokowi atau Probowo daripada Gerindra. Jika ini berlaku, sedikit rumit perjalanan Golkar ke Presiden Indonesia.

Kebangkitan Parti Kebangkitan Bangsa PKB yang diasaskan Gus Dur cukup memeranjatkan. Pengamat politik menjangkakan PKB tidak mampu bangkit kembali disebabkan tidak ada pemimpin sehebat Gus Dur yang menggantikan kepimpinan PKB. Parti yang diasaskan gerakan Nahdatul Ulama ini mencalonkan seorang artis dangdut terkenal Indonesia iaitu Roma Irama sebagai calon Presidennya. Disamping itu mereka juga berdepan dengan halangan menggunakan gambar Gus Dur yang dilarang oleh isteri dan anaknya. Walaupun bapanya pengasas PKB, tetapi anak Gus Dur menyertai parti Gerindra pimpinan Probowo. Agak unik, dicelah kesulitan itu, mereka boleh meningkatkan undi mereka. Adakah faktor artis popular yang dijadikan ikon baru parti atau pluralis PKB yang disenangi rakyat pelbagai agama. Wallahuaklam. Ia benar-benar mengejutkan.

Gerindra satu lagi parti baru yang ditubuhkan pada tahun 2008. Dalam usia setahun itu, dia berjaya memperolehi undi 4.46 peratus dalam PEMILU 2009. Ia suatu yang cukup besar. Parti yang diasaskan Probowo bekas menantu Soharto itu disertai oleh bekas kader-kader Golkar dan juga kalangan ahli akedemik seperti Ketua Umumnya Prof Suhardi. Kejayaan mereka memenangi pilihanraya perbandaran Jakarta melalui calonnya Ahok yang berganding dengan Jokowi sebagai Gabenor dan Timbalan Gabenor telah memberi nafas baru kepada mereka. Kejayaan tersebut meletakkan Gerindra berani menampilkan calon Presiden mereka iaitu Probowo sendiri. Harapan Probowo, Jokowi sedia berganding dengan beliau sebagai calon Timbalan Presiden sebagaimana gandingan Jokowi-Ehok di Jakarta. Tetapi agak mengecewakan apabila Jokowi sendiri dicalonkan oleh PDIP sebagai calon Presiden dan dilihat mereka berdua sebagai saingan terdekat untuk pilihanraya Presiden Julai nanti.

Demikianlah empat parti tertinggi yang mendapat undi dalam PEMILU 9 April ini. Kesemua faktor modenisasi parti, rejuvenasi kader baru dan penyegaran penampilan yang dilakukan setiap parti telah membuahkan hasil. Walaupun tidak dapat dinafikan kelebihan lain yang ada pada parti lama seberti Golkar dan PDIP yang mempunyai jentera yang kuat di peringkat akar umbi, dokongan kewangan yang kuat daripada tokoh korporat mereka dan tauke-tauke serta juga ada disebutkan sokongan Amerika kepada beberapa parti yang disenangi mereka.

Bagaimana pula dengan parti-parti Islam. Parti Persatuan Pembangunan PPP atau dikenali sebagai parti Kaabah pimpinan Hamzah Haz pernah menghantar calon mereka memenangi Timbalan Presiden Indonesia. Hamzah Haz sendiri menjadi Timbalan Presiden yang berganding dengan Megawati selepas pengunduran Gus Dur. Manakala Parti Bulan Bintang PBB yang dipimpin Yusril Ehya Mahendra pernah menghantar ketuanya itu sebagai Menteri Kehakiman Indonesia. Malah Yusril hampir hampir dicalonkan sebagai Presiden Indonesia oleh pakatan jalur tengah untuk menggantikan Habibie jika sekiranya Gus Dur menarik diri ketika itu. Parti Keadilan Sejahtera PKS pernah menghantar Presidennya menjadi Speaker Parlimen Indonesia. Dr Hidayat Norwahid menjadi speaker parlimen daripada tahun 2004 hingga 2009, menggantikan Amein Rais hero ‘reformasi’ daripada Parti Amanat Nasional PAN. Malah dalam tempoh pemerintahan penggal kedua Sosilo, PKS menghantar tiga pimpinannya menjadi Menteri Kabinet SBY iaitu bekas Presidennya Tifatul Sembiring yang menjadi Menteri Penerangan, dan dua orang lagi menjadi Menteri Pertanian dan Menteri Sosial. PKS yang dilihat maju dalam PEMILU 2004 dan 2009 sehingga menempatkan mereka dalam turutan keempat parti-parti di Indonesia. Walaupun tidak mencapai target 100 kerusi parlimen dalam PEMILU 2009, tetapi perolehan sekitar 60 kerusi sudah menunjukkan satu peningkatan memberangsangkan sehingga menguasai hampir 10 peratus kerusi di parlimen. Kekuatan PKS terbukti apabila mereka tidak dikesampingkan dalam pakatan Sosilo-Bodiyano untuk pencalonan Presiden dan Timbalan Presiden 2009-2014. Hasilnya PKS menerima tiga kementerian untuk diketuainya. Era PKS berada dalam kerajaan telah bermula dan semestinya mendekatkan lagi mereka dengan rakyat. Namun sedikit malang, kebangkitan PKS tersekat dengan penangkapan Presidennya Lutfi Hasan Ishak atas tuduhan bersubahat dengan rasuah. PKS melihat dakwaan tersebut sebagai konspirasi untuk menyekat kemaraannya. Walaupun ia masih bersifat dakwaan, tetapi serangan media yang dikenakan kepada PKS dengan isu tersebut yang paling tinggi kekerapan beritanya di media Indonesia. Berbanding dengan PDIP, Golkar, Demokrat pimpinan Sosilo dan juga parti parti lain yang mempunyai berpuluh kes rasuah melibatkan pemimpin mereka, tetapi serangan medianya tidak seteruk yang dikenakan kepada PKS. Walaupun hanya satu kes dan paling kecil berbanding parti lain di Indonesia, hatta masih bersifat dakwaan, imej bersih PKS telah dikotori.

Tindakan drastik PKS melantik bekas Setiausaha Agungnya yang muda Anis Matta sebagai Presiden baru dilihat memberi nafas baru. Anis yang menjadi Setiausaha Agung PKS dibawah tiga Presiden iaitu Dr Hidayat Norwahid, Tifatul Sembiring dan Lutfi Hasan Ishak dilihat sangat matang walaupun muda dan imejnya menampakkan inklusif PKS. Dalam tempoh yang singkat PKS berjaya memenangi pilihanraya tiga gabenor wilayah iaitu mengekalkan Gabenor Jawa Barat, memenangi Sumatera Barat dan Maluku. Ia kejayaan mengejutkan ditengah kekalutan akibat kes bekas Presidennya dan juga kekalahan PKS dalam pilihanraya gabenor Jakarta. Selain terpalit dengan tuduhan rasuah tersebut, PKS juga masih dilihat sebagai parti yang eksklusif yang hanya memfokus kepada kader kader dakwahnya sahaja. Walaupun PKS sangat berjaya dalam kerja kebajikan dan kesukarelawanannya kepada masyarakat imej tersebut tidak mampu membantu secara besar untuk memberikan gambaran keterbukaan PKS. Dibawah Presiden Anis Matta beliau yang kerap berseluar jeans dan berkemeja itu cuba membuka ruang penampilan yang lebih inklusif dalam partinya. Namun masanya agak suntuk, kesannya tidak dapat dirasakan dalam PEMILU kali ini. Walaupun kiraan undi sudah melebihi 90 peratus setakat ini, nampaknya PKS tidak mampu bertahan sebagai empat parti utama Indonesia dan jumlah kerusi dan undinya juga tidak mampu bertahan seperti sebelumnya. Memasuki pilihanraya Presiden pada bulan Julai ini, belum pasti kesediaan PKS untuk meletakkan calon Presidennya sebagaimana kehendak mereka sebelum PEMILU. Tiga nama yang mengungguli pilihanraya dalaman PKS iaitu Anis Matta, Pak Hidayat Norwahid dan Gabenor Jawa Barat Ahmad Heryawan dilihat tidak segagah Probowo dan Jokowi daripada Gerindra dan PDIP. Untuk meletakkan calon Presiden dan Timbalannya, setiap parti ataupun gabungan parti-parti mestilah membentuk 20 peratus kerusi di parlimen. Wujudkah gabungan ini diantara PKS, PBB, PPP dan lain-lain parti aliran tengah, sama-sama kita nantikan.

Apapun, politik Indonesia yang rencam tidak memustahilkan sebarang kemungkinan. PKB yang dilihat hamper mati pun boleh bangkit kembali. Gerindra yang baru ditubuh pun boleh cepat melonjak. Lalu tidak mustahil masa depan PKS dan Parti Islam lain boleh cerah di masa depan. Ini kerana Indonesia yang sudah terbuka demokrasinya masih lagi berdepan dengan kemiskinan pengundinya. Segala keberangkalian boleh berlaku kepada pengundi seumpama ini, kerana asas undi mereka tidak hanya maklumat dan ilmu, tetapi juga makanan dan survival untuk hidup. Semoga ada kemajuan dimasa mendatang buat Indonesia.

Mohd Nasaie Ismail Setiausaha Pemuda PAS Malaysia.

No comments:

Post a Comment