Saturday, 28 June 2014

SIAPAKAH PILIHAN RAKYAT?

Jokowi atau Probowo sebagai pilihan rakyat Indonesia menjelang 9 Julai pilihanraya Presiden negara tersebut. Kebetulan apabila Jokowi memenangi pilihanraya gabenor Jakarta hampir dua tahun yang lalu, namanya begitu popular di Indonesia, bahkan di Malaysia. Jokowi adalah Wali Kota atau Dato Bandar Surakarta @ Solo sebelum itu. Penggal pertama menjadi walikota begitu cemerlang di mata rakyat Solo. Antara jasa besarnya menyelesaikan masalah peniaga jalanan yang jumlahnya ribuan yang sedikit sebanyak mengganggu dan dilihat mencacatkan pemandangan bandar tersebut. Sudah beberapa kali walikota sebelumnya dibakar pejabat mereka apabila menyebut untuk memindahkan peniaga tersebut. Tetapi Jokowi berjaya lakukannya tanpa sebarang tentangan dengan memindahkan mereka ke pasar yang lebih tersusun dan menjadi tarikan pelancong. Bahkan satu satunya di Indonesia, hatta ada yang mengatakan di dunia, berjaya menyelesaikan masalah tersebut.

Formulanya, Jokowi popular dengan aktiviti turun padangnya untuk mendengar masalah rakyat. Setiap pagi dia akan menunggu di stesen keretapi menanti kedatangan pekerja pekerja dan bertanya khabar mereka. Begitu juga jika ada kesusahan dan mala petaka, dia akan turun sendiri. Masuk penggal kedua sebagai walikota, nama beliau pernah tersenarai dalam senarai Dato Bandar yang popular di dunia. Belum tamat penggal kedua, PDIP mencalonkan beliau bertanding walikota Jakarta pada tahun 2012. Beliau berganding dengan Ahok sebagai Wakil Walikota atau Timbalan Dato Bandar daripada parti Gerindra yang dipimpin Probowo. Probowo kuat berkempen untuk kemenangan Jokowi yang berdepan dua tokoh nasional daripada PKS Dr Hidayat Norwahid dan tokoh Golkar Alex Nordin. Ternyata kempen PDIP dan Gerindra membawa kemenangan yang mengejutkan. Maka makin masyhurlah nama Jokowi dan juga Gerindra.

Jokowi


Probowo bekas pegawai kanan tentera zaman soharto yang juga bekas menantu Suharto telah menubuhkan parti Gerindra dan memasuki pilihanraya buat kali pertama pada tahun 2008. Keputusan yang cukup baik dalam pilihanraya tersebut. Apabila calonnya Ahok yang berpasangan dengan Jokowi memenangi pilihanraya walikota Jakarta, ia memberi semangat kepada Probowo untuk mncalonkan dirinya sebagai calon Presiden Indonesia. Probowo mengharapkan pakatannya dalam pilihanraya walikota Indonesia iaitu PDIP pimpinan Megawati memberi sokongan dan dia mengharapkan Jokowi sedia menjadi Timbalan Presiden atau Wakil Presiden yang akan ditandinginya.

Namun sebaliknya berlaku, sebelum PEMILU 9 April, Megawati mengumumkan Jokowi yang baru setahun lebih menjadi Walikota Jakarta akan dicalonkan sebagai calon Presiden Indonesia mewakili PDIP. Pencalonan Jokowi mendapat tentangan dalaman PDIP kerana beliau bukan kader asli PDIP dan dibimbangi tidak membawa hasrat PDIP. Namun berjaya diselesaikan Megawati apabila mengumumkan bahawa Jokowi sedia mendengar perintahnya. Maka timbul isu baru pula apabila rakyat melihat Jokowi hanya akan menjadi boneka Megawati. Imej Jokowi yang mesra rakyat itu tercalar disebabkan dirinya dikaitkan dengan PDIP yang terkenal dengan rasuah dan PDIP juga konsisten menentang sebarang undang undang berkaitan moral dan agama di parlimen Indonesia. Kemenangan Jokowi di Jakarta juga diburukkan dengan Skandal Bas Intrakota yang dibeli dari China dan sampai ke Jakarta dalam keadaan sudah berkarat. Maka semua itu disabitkan dengan tokoh tokoh PDIP yang berada dikeliling beliau.

Probowo pula merupakan anak kepada seorang Profesor dan pernah memegang jawatan kanan dalam tentera Indonesia. Beliau pernah hidup di luar negara termasuklah Malaysia mengikuti keluarganya. Apabila Soharto meletakkan jawatan, Probowo pernah dikaitkan dengan mengugut Habibie dan juga dikaitkan dengan skandal penculikan beberapa aktivis Reformasi ketika itu. Namun sehingga kini beliau menafikannya. Probowo juga berjaya membentangkan misinya untuk masa depan Indonesia dan dilihat lebih terkedepan berbanding Jokowi yang hanya membawa imej mesra rakyat tanpa misi yang kuat. Beliau meletakkan Hatta Rajasa pimpinan Parti Amanat Nasional PAN sebagai calon Timbalan Presiden. Hatta pernah menjadi Menteri selama 3 penggal termasuk dibawah Sosilo Bambang Yudiano sebagai Menteri Ekonomi. Keupayaan beliau membawa perubahan kepada ekonomi Indonesia sepanjang pemerintahan SBY cukup memberangsangkan. Ditambah kekuatan pengasas PAN Amein Rais yang berdamping dengan beliau.

Probowo

Manakala Jokowi berpakat dengan Jusuf Kalla bekas Timbalan Presiden Indonesia penggal pertama pemerintahan SBY. Jusuf Kalla yang merupakan bekas pemimpin Golkar dan sinonim dengan keIslamannya pernah bertanding Presiden sesi lepas, namun tewas. Agak pelik apabila partinya sendiri tidak menyokong pencalonan Jokowi, tetapi beliau secara individu menyertai Jokowi. Namun umum melihat Jusuf Kalla dan Hatta Rajasa mempunyai kekuatan untuk melengkapkan calon Presiden masing masing. Timbul kebimbangan dalam PDIP bahawa Jusuf Kalla akan lebih terkedepan berbanding Jokowi sebagaimana dia menjadi Timbalan kepada SBY sebelum itu. Nasihat dan ketegasan diberikan oleh pemimpin PDIP khususnya Megawati supaya Jusuf Kalla tidak mengulanginya.

Apakah sikap parti parti bernuansa Islam? Jokowi didokong oleh Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) yang banyak disertai pemimpin Nahdatul Ulama dan diasaskan oleh Gus Dur. Namun perpecahan berlaku apabila anak Gus Dur mengumumkan memberi sokongan kepada Probowo dan sebahagian Kiai Nahdatul Ulama menyokong Probowo. Bekas calon Presiden daripada PKB, Roma Irama menarik sokongan dan beralih kepada Probowo. Manakala Parti Amanat Nasional (PAN), Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Persatuan Pembangunan @ Parti Kaabah (PPP) dan Parti Bulan Bintang (PBB) memberi sokongan kepada Probowo. Manakala parti popular seperti Golkar dan Demokrat pimpinan SBY tidak menyatakan sokongan kepada mana mana pihak.

Namun sebahagian besar aktivis mereka secara terang memberi sokongan kepada Probowo. Kenapa majoriti parti Islam dan parti parti besar menyokong Probowo? Bagi penulis, kedua dua watak Jokowi atau Probowo sama sahaja kelebihan dan kekuranganya. Bahkan jiwa Islamnya yamg cetek pun keduanya sama. Kekuatan calon Timbalan Presiden Jusuf Kalla dan Hatta Rajasa pun sama kuat daripada sudut agama dan keupayaan memerintah. Namun yang paling dibimbangi ialah PDIP dan Megawati yang duduk di belakang pencalonan Jokowi. Kebimbangan tentang budaya rasuah, anti keIslaman, hubungan dengan US dan lain lain yang sinonim dengan PDIP boleh jadi menjadi sebab mereka mengambil sikap menyokong Probowo.



Bersambung siri 4 InsyaAllah jika ada kelapangan.....

Nasaie Ismail
Syari' Madah
11.01 am
Akhir Syaaban 1435.

Tuesday, 10 June 2014

Pasca Reformasi Indonesia 1998 : Peranan BJ Habibie

9 Julai rakyat Indonesia akan mengundi calon Presiden mereka samada Jokowi atau Probowo. Selepas kejatuhan Soharto dalam kebangkitan rakyat 1998, Indonesia dipimpin oleh empat Presiden. Bermula dengan BJ Habibie yang memangku jawatan Presiden selama setahun setengah, Gus Dur atau Abdul Rahman Wahid, Megawati Sukarno Putri dan Sosilo Bambang Yudiyano atau SBY. Kebangkitan rakyat dalam reformasi 1998 mengakibatkan kematian beberapa orang mahasiswa dikalangan penunjuk perasaan, ratusan bangunan dan ribuan kenderaan terbakar dan musnah dalam tempoh tersebut.

BJ Habibie


Gud Dur


BJ Habibie mengambil alih jawatan Presiden dalam keadaan kemarahan rakyat sedang memuncak kepada pemerintahan Soharto. Ketika beliau mengadakan pertemuan pertama dengan ahli ahli parlimen Indonesia, sejurus mengangkat sumpah Presiden, mahasiswa dan orang ramai berhimpun di atas bumbung parlimen. Namun beliau tidak mengambil masa yang lama melakukan perubahan dengan membuka demokrasi, kebebasan akhbar dan berpersatuan. Walaupun masih ada yang tidak berpuas hati, tetapi lebih separuh daripada penunjuk perasaan mula tenang dan kembali ke rumah masing masing. Sebahagian lagi masih meneruskan perhimpunan dan kebimbangan mereka ialah Habibie warisan Soharto. Beliau Timbalan Presiden kepada Soharto. Beliau juga daripada keluarga Parti Golkar. Habibie memantau kritikan terhadapnya setiap hari dan tidak menjawabnya walaupun pahit.
Beliau terus bertindak memperbaiki Indonesia khususnya demokrasi dan ekonomi yang merudum terlalu parah ketika itu. Langkah beliau amat berhati hati, namun memberi harapan.

Megawati

Susilo Bambang

Rombongan tokoh tokoh agamawan, ahli akedemik dan reformasi bertemu dengan beliau mendesak segera diadakan pilihanraya dalam tempoh dua tiga bulan tersebut. Antara yang bertemu beliau ialah Gus Dur, Amein Rais, Prof Qurais Shihab dan lain lain. Habibie menolak gesaan tersebut dengan alasan, peluang kepada parti baru yang ditubuhkan pasca reformasi akan malap kerana tempoh yang singkat tidak mampu memperkenalkan parti tersebut kepada seluruh Indonesia yang sangat luas. Kalau segera diadakan pilihanraya,maka parti parti lama juga yang akan terus menguasai terutamanya Golkar sendiri. Keseluruhannya, Habibie memberi harapan yang tinggi kepada rakyat terhadap perubahan yang mereka inginkan, tetapi keterbukaan tersebut tidak dalam semua perkara. Ada tempat beliau tegas termasuk dalam hal memperlewatkan pilihanraya. Selepas setahun setengah barulah pilihanraya diadakan dan lembaran politik baru Indonesia mula terbuka. Tempoh yang singkat pemerintahan Habibie sebagai kuasa peralihan cukup menarik dikaji, kerana beliau berjaya menenangkan majoriti rakyat yang bangkit, dia berjaya membawa harapan baru terhadap ekonomi dan demokrasi walaupun ada pertikaiannya dan dia berjaya mengelakkan daripada Balkanisme iaitu perpecahan wilayah Indonesia kepada beberapa negara baru. Situasi yang sama akan dialami oleh mana mana negara yang baru dibuka demokrasinya pasca kejatuhan rejim diktator seperti Mesir dan Tunisia yang terkini. Pembukaan demokrasi jika tidak diuruskan dengan baik, khususnya kerajaan awal yang menggantikan rejim yang boleh dianggap masih berada pada zaman peralihan. Jika silap langkah, maka ia membawa natijah yang buruk. Tetapi setahun setengah pemerintahan Habibie berjaya lalui kesemua ini dan hari ini rakyat Indonesia mengecapi kebebasan tersebut dalam keadaan yang stabil dan lebih baik berganda berbanding sebelum reformasi 1998. InsyaAllah akan bersambung sehinggalah cerita Probowo vs Jokowi ini.

Jokowi atau Probowo?